Semalam tertengok telefilem di TV1, cerita RTM ni biasanya tengok tajuk dulu, pelakon dan tengok 15 minit yang pertama barulah buat keputusan nak tengok ke tidak. Kalau di tv swasta tu biasanya memang yakin sedap.
Lakonan Syafie Naswip dan Zahiril Adzim yang memang dikenali
dengan lakonan mantap. Kenal Syafie sejak Muhsin dan layak jadi hero dah, rupa
pun ada. Semoga kekalkan disiplin dan tiada gosip murahan.
Menceritakan Zahiril seorang yang warak dan rajin solat
menyewa di rumah Syafie (Naufal). Naufal tidak solat tetapi Zahiril tidak
jemu-jemu mengajak. Seorang pendakwah tidak pernah putus asa dan dia akan
membaca talqin di birai katil Naufal setiap pagi untuk menggerakkan Naufal
supaya solat subuh berjemaah. Ya, kenapa
talqin? Kalau mengikut kata-kata ustaz dalam pengajian saya, ‘ubat’ untuk
melembutkan hati anak-anak yang keras hatinya, bawa dia ke kubur dan mendengar
talqin. Talqin boleh menginsafkan, sebenarnya pun talqin dibaca itu bukan untuk
orang yang mati pun, tetapi untuk orang yang masih hidup supaya bersiap sedia.
Naufal pula ditunjukkan ada sisi baik dan sisi jahatnya yang
akan ‘memandu’ dia dalam membuat keputusan tetapi dia lebih mengikut kata hati
jahat dan memang tidak terkesan dengan talqin yang dibaca.
Sebenarnya sisi baik dan sisi jahat yang ditunjukkan itu ialah
qarin dan malaikat. Untuk bacaan lanjut boleh rujuk di sini. Nak terangkannya
tak berapa pandai. Setiap manusia yang dilahirkan sehinggalah matinya anak
Adam, kita mempunyai satu jin kafir yang menjadi peneman kita ke mana sahaja
kita pergi. Qarin ini akan mengajak kita melakukan kejahatan dan menahan
daripada melakukan ketaatan kepada Allah.
Qarin dijadikan Allah sebagai pendamping setiap manusia.
Oleh yang demikian maka Allah mengutuskan pula malaikat yang mengajak manusia
ke arah kebaikan dan mencegah daripada melakukan kejahatan. Maka manusialah
yang membuat pilihan untuk mengikut arah yang mana.
Qarin akan membisik-bisik was-was, melalaikan solat, berasa
berat hendak membaca al-Quran dan terasa manis tatkala melakukan maksiat.
Amalan zikir menjadi pendinding manusia daripada gangguan syaitan. Caranya dengan
membaca Bismillah dalam melakukan sebarang pekerjaan. Banyak berzikir, membaca
al-Quran dan taat melakukan perintah Allah.
Berbalik kepada cerita tadi, ada satu bahagian di mana
Naufal meracau kerana berada dalam dilema untuk mengikut perkara yang baik atau
buruk. Ustaz menenangkan dengan menyuruhnya mengikut kata hati. Ketika ini
teringat saya bacaan dari buku Hadis 40 Terjemahan dan Syarahannya, Mustafa Abd
Rahman, Dewan Pustaka Fajar, 1989.
Wailah bin al-Asqa berkata kepada Rasulullah: “Berilah
kepadaku satu fatwa tentang suatu perkara sehingga aku tidak lagi akan bertanya
kepada seorang sesudah engkau” maka Rasulullah pun berkata kepadanya:”Mintalah
fatwa diri engkau sendiri” kataku: “Bagaimanakah yang demikian?” Rasulullullah
menjawab: “Engkau tinggal apa yang meragukan engkau kepada apa yang tiada meragukan engkau, sekali pun telah
berfatwa kepada engkau oleh sekalian orang yang berfatwa”. Kataku lagi: “Bagaimanakah
yang demikian?” Jawabnya: “Letakkanlah tangan engkau ke atas hati engkau
(bagaimanakah keadaan perasaannya)”. Kerana hati akan tenang kepada perkara
yang halal dan tiada tenang kepada perkara yang haram.
Ikutkan pepatah Melayu, ikut hati mati tetapi bila di dalam
dilema, ikutlah fatwa hati.
Cerita ini agak klise bila dimatikan watak orang yang baik
dengan terlibat dalam kemalangan namun ia penyudah yang baik sebenarnya.
Produser sekarang ni banyak mencanangkan buat cerita gengster dan diselitkan
unsur seks dengan tujuan untuk memberi pengajaran..arggh tak payahlah, cerita
sebegitu langsung tidak menyentuh perasaan tetapi cerita Talqin Di Birai Katil
ini berjaya memberi kesan di hati walaupun setelah cerita ini tamat.
**************************************************************
Solat itu tiang agama. Malah terdapat kajian yang menyatakan tidak solat menyebabkan ramai yang bercerai. Tingkatkan solat dari masa ke masa.
Ensiklopedia solat untuk bacaan di waktu senggang|
Hubungi saya di cikzarinazainal@gmail.com
SMS/WhatsApp:019-3875070