Saturday, 5 July 2014

Talqin Di Birai Katil


Semalam tertengok telefilem di TV1, cerita RTM  ni biasanya tengok tajuk dulu, pelakon dan tengok 15 minit yang pertama barulah buat keputusan nak tengok ke tidak. Kalau di tv swasta tu biasanya memang yakin sedap.

Lakonan Syafie Naswip dan Zahiril Adzim yang memang dikenali dengan lakonan mantap. Kenal Syafie sejak Muhsin dan layak jadi hero dah, rupa pun ada. Semoga kekalkan disiplin dan tiada gosip murahan.
Menceritakan Zahiril seorang yang warak dan rajin solat menyewa di rumah Syafie (Naufal). Naufal tidak solat tetapi Zahiril tidak jemu-jemu mengajak. Seorang pendakwah tidak pernah putus asa dan dia akan membaca talqin di birai katil Naufal setiap pagi untuk menggerakkan Naufal supaya solat subuh berjemaah.  Ya, kenapa talqin? Kalau mengikut kata-kata ustaz dalam pengajian saya, ‘ubat’ untuk melembutkan hati anak-anak yang keras hatinya, bawa dia ke kubur dan mendengar talqin. Talqin boleh menginsafkan, sebenarnya pun talqin dibaca itu bukan untuk orang yang mati pun, tetapi untuk orang yang masih hidup supaya bersiap sedia. 

Naufal pula ditunjukkan ada sisi baik dan sisi jahatnya yang akan ‘memandu’ dia dalam membuat keputusan tetapi dia lebih mengikut kata hati jahat dan memang tidak terkesan dengan talqin yang dibaca.
Sebenarnya sisi baik dan sisi jahat yang ditunjukkan itu ialah qarin dan malaikat. Untuk bacaan lanjut boleh rujuk di sini. Nak terangkannya tak berapa pandai. Setiap manusia yang dilahirkan sehinggalah matinya anak Adam, kita mempunyai satu jin kafir yang menjadi peneman kita ke mana sahaja kita pergi. Qarin ini akan mengajak kita melakukan kejahatan dan menahan daripada melakukan ketaatan kepada Allah.

Qarin dijadikan Allah sebagai pendamping setiap manusia. Oleh yang demikian maka Allah mengutuskan pula malaikat yang mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah daripada melakukan kejahatan. Maka manusialah yang membuat pilihan untuk mengikut arah yang mana. 

Qarin akan membisik-bisik was-was, melalaikan solat, berasa berat hendak membaca al-Quran dan terasa manis tatkala melakukan maksiat. Amalan zikir menjadi pendinding manusia daripada gangguan syaitan. Caranya dengan membaca Bismillah dalam melakukan sebarang pekerjaan. Banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melakukan perintah Allah.

Berbalik kepada cerita tadi, ada satu bahagian di mana Naufal meracau kerana berada dalam dilema untuk mengikut perkara yang baik atau buruk. Ustaz menenangkan dengan menyuruhnya mengikut kata hati. Ketika ini teringat saya bacaan dari buku Hadis 40 Terjemahan dan Syarahannya, Mustafa Abd Rahman, Dewan Pustaka Fajar, 1989.

Wailah bin al-Asqa berkata kepada Rasulullah: “Berilah kepadaku satu fatwa tentang suatu perkara sehingga aku tidak lagi akan bertanya kepada seorang sesudah engkau” maka Rasulullah pun berkata kepadanya:”Mintalah fatwa diri engkau sendiri” kataku: “Bagaimanakah yang demikian?” Rasulullullah menjawab: “Engkau tinggal apa yang meragukan engkau kepada apa yang  tiada meragukan engkau, sekali pun telah berfatwa kepada engkau oleh sekalian orang yang berfatwa”. Kataku lagi: “Bagaimanakah yang demikian?” Jawabnya: “Letakkanlah tangan engkau ke atas hati engkau (bagaimanakah keadaan perasaannya)”. Kerana hati akan tenang kepada perkara yang halal dan tiada tenang kepada perkara yang haram. 

Ikutkan pepatah Melayu, ikut hati mati tetapi bila di dalam dilema, ikutlah fatwa hati.

Cerita ini agak klise bila dimatikan watak orang yang baik dengan terlibat dalam kemalangan namun ia penyudah yang baik sebenarnya. Produser sekarang ni banyak mencanangkan buat cerita gengster dan diselitkan unsur seks dengan tujuan untuk memberi pengajaran..arggh tak payahlah, cerita sebegitu langsung tidak menyentuh perasaan tetapi cerita Talqin Di Birai Katil ini berjaya memberi kesan di hati walaupun setelah cerita ini tamat. 

**************************************************************

Solat itu tiang agama. Malah terdapat kajian yang menyatakan tidak solat menyebabkan ramai yang bercerai. Tingkatkan solat dari masa ke masa.

Ensiklopedia solat untuk bacaan di waktu senggang|



Hubungi saya di cikzarinazainal@gmail.com
SMS/WhatsApp:019-3875070

1 comment: